Saturday 10 April 2010

MEMPERKASAKAN KURIKULUM PENDIDIKAN NEGARA

MEMPERKASAKAN KURIKULUM PENDIDIKAN NEGARA

Oleh
Pengarah
Pusat Perkembangan Kurikulum

Abstrak

Kurikulum merupakan suatu elemen penting dalam sistem pendidikan. Ianya merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang boleh mencorakkan generasi akan datang. Kurikulum perlu relevan dan dinamis bersesuaian dengan keperluan semasa dan halatuju pendidikan serta aspirasi negara. Kertas ini membincangkan tentang asas dan cabaran yang perlu dipertimbangkan dalam memperkasakan kurikulum pendidikan negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pembangunan Negara dan trend pendidikan dunia adalah di antara kuasa penggerak yang perlu diberi penekanan dalam usaha memperkasakan kurikulum pendidikan negara. Matlamat kurikulum ialah melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Namun, pada masa yang sama kurikulum turut perlu menyumbang dalam melahirkan pekerja yang berilmu, warganegara yang bertanggungjawab dan mempunyai ciri-ciri global player. Pengisian dan pelaksanaan kurikulum mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat, profil bangsa dan warganegara Malaysia yang berkualiti.

1.0 PENDAHULUAN

Perangkaan menunjukkan bahawa hampir 21 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berada dalam lingkungan umur persekolahan iaitu di antara 6 hingga 18 tahun. Kumpulan ini mengikuti sistem persekolahan Malaysia yang menggunakan kurikulum kebangsaan.

Kurikulum merupakan suatu elemen terpenting dalam sistem pendidikan. Ia merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu sistem pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik dan relevan dengan kehendak-kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Pernyataaan kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah dan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta interaksi guru-murid di bilik darjah. Perlu ditegaskan bahawa kurikulum bukannya satu entiti yang konstan tetapi bersifat fleksibel dan berubah mengikut senario dan tuntutan ekonomi, sosial dan politik tanah air.

2.0 ASAS PERTIMBANGAN PEMBANGUNAN KURIKULUM SISTEM PERSEKOLAHAN MALAYSIA

2.1 Perubahan Ekonomi

Malaysia, seperti negara-negara membangun yang lain, terpaksa berhadapan dengan arus globalisasi iaitu aktiviti ekonomi dunia tanpa sempadan. Penghapusan segala perlindungan ekonomi yang dikenakan oleh negara-negara membangun bagi melindungi dan meningkatkan ekonomi, syarikat dan institusi kewangan tempatan telah mengizinkan pergerakan bebas kewangan, pelaburan dan perdagangan. Kesan dari globalisasi ini, syarikat-syarikat besar datang ke sesebuah negara membangun untuk melabur, menjual dan turut mengambil alih syarikat-syarikat kecil. Barangan import yang lebih berkualiti dibawa masuk dengan harga yang lebih murah menyebabkan barangan tempatan hilang pasaran, seterusnya akan mengakibatkan syarikat tempatan terpaksa ditutup dan rakyat kehilangan pekerjaan.

Arus globalisasi bukan sahaja telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi, malah turut mempengaruhi budaya, politik dan keselamatan beberapa negara membangun. Malaysia belum lagi terjejas teruk seperti sebahagian besar negara-negara membangun yang lain kerana tindakan cepat oleh kerajaan mengatasi kesan globalisasi ini serta disebabkan kita tidak bergantung semata-mata kepada komoditi. Walaupun globalisasi memberi kesan buruk, tetapi jika ianya ditangani dengan betul dan berkesan, ia akan memberi keuntungan kepada negara.

Semua lapisan masyarakat perlu bersedia untuk memainkan peranan masing-masing untuk mengharungi arus globalisasi kerana arus ini akan terus mencorakkan struktur ekonomi dan sosial rakyat di masa hadapan. Persoalannya ialah sebagai rakyat Malaysia, apa yang perlu kita lakukan? Lebih tepat lagi, apa yang perlu kita lakukan untuk menyiapkan diri kita untuk menikmati manfaat globalisasi tanpa merasai kesan negatifnya? Jawapannya bergantung kepada bagaimana kita menangani dan mengurus kesan globalisasi ke atas negara ini.

Dalam hal ini, pembangunan modal insan yang relevan dengan keperluan semasa dan masa akan datang merupakan sumber utama menentukan kemampuan negara untuk menghadapi cabaran globalisasi. Memandangkan golongan murid dan pekerja merupakan elemen yang penting untuk memajukan negara, usaha-usaha hendaklah diambil untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan mereka. Golongan ini perlu ditanam dengan sikap gigih, dedikasi, berani dan keinginan untuk terus meningkatkan taraf ilmu pengetahuan. Oleh itu, aspek latihan dan pendidikan samada secara formal atau tak formal adalah menjadi tonggak yang menentukan samada masyarakat negara ini bersedia dan mampu mengharungi arus globalisasi atau sebaliknya.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) untuk sepuluh tahun akan datang yang mengandungi prinsip asas pembangunan ekonomi dan pembinaan bangsa serta menjelaskan strategi dasar yang perlu diambil untuk mengurus dan menangani globalisasi. Hal ini turut menjadi agenda penting dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dengan meletakkan pembangunan modal insan sebagai Teras Kedua dalam mencapai kecemerlangan pendidikan Malaysia menjelang 2010. Untuk Malaysia terus berdaya saing dalam dunia yang semakin global, penekanan yang lebih akan diberi kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan atau k-ekonomi. Keduanya, sekiranya Malaysia mahu menjadi pemain yang bermakna dan bukan hanya sebagai pemerhati dan penerima teknologi dan pelaburan dalam dunia global, kita mesti membuat perubahan penting dalam cara pengurusan ekonomi dan pembangunan modal insan.

K-ekonomi bermaksud pengetahuan akan menjadi faktor pengeluaran yang semakin penting, selain tanah, buruh dan modal. Cara-cara pengeluaran tradisional akan ditukar menjadi proses yang lebih bestari, dengan lebih ramai pekerja mahir dan disokong oleh penyelidikan dan pembangunan yang lebih luas dan banyak. K-ekonomi memberi tumpuan kepada pengetahuan sebagai pendorong pertumbuhan ekonomi kerana ilmu ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan seterusnya melahirkan proses keluaran yang baru. Contohnya:

i. penggunaan pengetahuan terkini dalam pengurusan pertanian, seperti dalam kawalan serangga, pengolahan genetik, pengurusan dan penjadualan tanaman dan tuaian, untuk menambah hasil dan kualiti produk.

ii. dalam sektor pendidikan, pengetahuan dalam aplikasi ICT boleh memperbaiki kadar dan kaedah pembelajaran.

iii. dalam sektor industri, pengetahuan tentang kaedah-kaedah terkini pemprosesan, bahan-bahan terbaru, teknologi tercanggih, dan pembaharuan-pembaharuan yang telah terdapat di negara-negara lain, akan secara langsung membantu industri tempatan meningkatkan daya saing.

iv. dalam sektor awam pula, pengetahuan tentang bagaimana boleh dipercekapkan lagi prestasi agensi-agensi kerajaan, tentang meningkatkan prestasi kakitangan awam, dan menggunakan kaedah-kaedah baru melayan pelanggan, memperbaiki sistem penyampaian sektor awam, dan seterusnya dapat meningkatkan daya saing dan prestasi negara.

Satu ciri penting yang diperlukan oleh sesebuah negara, organisasi, syarikat dan individu untuk menjayakan proses peralihan kepada k-ekonomi , serta terus berupaya bersaing dalam arus globalisasi ialah kemampuan untuk bergerakbalas segera kepada perubahan dan keperluan. Dalam suasana persekitaran yang mencabar dan mendesak, "ketangkasan" akan banyak menentukan "survival" atau daya hidup. Kegagalan mengubahsuai apa yang patut, akan menyebabkan organisasi tersebut hilang pasaran dan tidak berupaya mengatasi cabaran-cabaran baru pasaran.

Dalam konteks ini, RRJP3 dan PIPP secara khususnya menjelas dan memperincikan keperluan untuk memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu pembangunan modal insan dan penggunaan ICT.

Dari segi pembangunan modal insan, telah terbukti bahawa negara boleh membangun dan maju jika mempunyai tenaga kerja yang produktif, berdaya saing, inovatif, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Negara yang gagal membangunkan modal insan dan menjana pekerja berasaskan ilmu pengetahuan atau k-pekerja serta penemuan yang inovatif dan terkedepan sudah tentu akan terus ketinggalan.

Keperluan tenaga pekerja berilmu dan pembangunan modal insan adalah berasaskan keperluan berikut dalam suasana k-ekonomi:

i. Organisasi dan majikan memerlukan sumber tenaga kerja yang mampu menghadapi dan melakukan perubahan di tempat kerja mengikut keperluan dengan cepat.

ii. Aktiviti ekonomi berubah kepada industri canggih yang lebih berasaskan high added value dan high value added yang kedua-duanya memerlukan peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

iii. Pengautomasian untuk meningkatkan produksi dan perkhidmatan memerlukan lebih ramai pekerja yang berkeupayaan mengendali dan menyelenggarakan mesin automasi. Pekerja juga harus mampu merekabentuk mesin dan perisian serta mengubahsuai aplikasi sistem automasi.

iv. Saingan yang lebih kompetetif di dalam dan luar negara.

v. Organisasi memberi lebih tumpuan kepada peringkat yang memberi lebih keuntungan iaitu konsepsi produk, penyelidikan dan perekaan, menyedia prototaip, serta di peringkat pembungkusan, jenama, jualan dan pengiklanan. Semua peringkat ini memerlukan pengetahuan, kreativiti dan inovasi.

Satu senario yang biasa berlaku dalam k-ekonomi ialah perubahan aktiviti syarikat serta perubahan pekerjaan. Oleh yang demikian, generasi muda perlu mempunyai kemahiran yang pelbagai dan bersikap fleksibel dalam meneroka dunia pekerjaan. Mobiliti mereka terjejas apabila mereka hanya terikat kepada satu kebolehan sahaja.

Usaha permulaan yang harus dibuat di peringkat sekolah ialah untuk melengkapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang diperlukan bagi menghadapi cabaran globalisasi ini dengan lebih mudah. Antaranya ialah mereka memerlukan pengetahuan dan kemahiran baru seperti kemahiran ICT serta kebolehan berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka juga perlu mampu berkomunikasi, menganalisis dan membuat keputusan dengan berkesan.

Murid hari ini perlu mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi yang dapat diperolehi melalui pendidikan formal dan didikan ibu bapa agar dapat berfikir secara kritikal dan mampu berkomunikasi secara terbuka.

Aspek kedua yang boleh mempercepatkan perkembangan dan aplikasi pengetahuan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi negara ialah penggunaan ICT. ICT perlu difahami sebagai satu "alat serbaguna" yang boleh meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi. Bagaimanapun peralatan dan perkakasan yang canggih tidak akan menambah nilai kepada mana-mana individu atau organisasi jika aplikasi ICT itu tidak menyeluruh dan komprehensif. ICT juga tidak bermakna jika ianya hanya sekadar untuk mengakses informasi.

Aplikasi ICT perlu dimanfaatkan untuk memperkembangkan potensi individu serta meningkatkan kualiti dan produktiviti. Oleh yang demikian, penyediaan infostructure perlu seiring dengan perubahan-perubahan dan peralihan minda dan sikap pekerja, di samping keupayaan mengaplikasi ICT sebaik mungkin. Dalam konteks ini, setiap lapisan masyarakat memerlukan kemahiran bukan sekadar mengguna peralatan atau mengakses maklumat, tetapi berkeupayaan memproses maklumat dengan cepat serta mempelbagaikan aplikasi ICT dalam setiap proses kerja.

2.2 Perubahan Sosial

Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian. Modenisasi juga diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang baru. Gaya hidup tradisi telah berubah kepada cara hidup moden seiring dengan pertumbuhan kilang-kilang, pusat membeli-belah, pusat-pusat hiburan dan taman-taman tema. Justeru itu sistem pendidikan juga turut mengalami proses modenisasi secara beransur-ansur.

Perubahan nilai dan norma dalam kehidupan seperti proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi akan menimbulkan masalah gejala sosial contohnya masalah disiplin di sekolah, ponteng sekolah, gangsterisme, gejala mat rempit dan penyalahgunaan dadah. Faktor-faktor ini menuntut keperluan untuk menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti bagi semua lapisan dan peringkat masyarakat. Sistem pendidikan mestilah mampu memberikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan seterusnya menerapkan nilai-nilai hidup bermasyarakat bagi melahirkan warganegara yang bukan sahaja mampu mensejahterakan diri dan keluarganya, bahkan komuniti dan negaranya.

2.3 Perubahan Struktur Politik

Integrasi kaum merupakan isu yang sering menimbulkan masalah dan perlu diberi perhatian di kebanyakan negara di dunia. Integrasi kaum di Malaysia sentiasa diberi keutamaan. Tawil dan Harley (2004) mendefinisikan kejeleketan sosial (social cohesion) sebagai sesuatu yang boleh berfungsi sebagai ‘a framing concept’ atau pun rangka konsep untuk berfikir melalui isu-isu dasar yang kompleks. Kejeleketan sosial merupakan perkara utama yang perlu diambilkira apabila menilai perubahan dasar kurikulum. Konsep ini merupakan satu kesedaran sosial yang boleh diaplikasikan sewaktu penggubalan dasar sebagai satu tindak balas kepada kepelbagaian isu-isu sosial.

Adalah penting untuk kita mengambilkira faktor budaya, sosial dan politik dalam perspektif sejarah untuk memahami sifat pembahagian sosial, konflik, identiti dan keamanan. Sebagai contoh, isu keterasingan (compartmentalization) dan kelangsungan etnik (ethnic survival) boleh mencetuskan konflik etnik. Kurikulum kebangsaan yang dilaksanakan di sekolah sememangnya memberi penekanan kepada betapa pentingnya nilai dan norma yang menggalakkan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Pendekatan terarah melalui pengenalan mata pelajaran khusus seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta disokong melalui kaedah penerapan nilai merentas kurikulum merupakan usaha Kemeneterian Pelajaran Malaysa menyemai dan menyuburkan semangat patriotisme dan perpaduan kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti sistem pendidikan negara. Malah, langkah penambahbaikan kepada sistem sedia ada dan mengukuhkan lagi integrasi nasional di Malaysia, maka Program Khidmat Negara dilaksanakan. Sebagai langkah awal bagi menerapkan semangat integrasi nasional di kalangan murid-murid, unsur-unsur Program Khidmat Negara harus diterapkan ke dalam kurikulum persekolahan. Ini menunjukkan bahawa isu integrasi kaum masih lagi merupakan agenda utama dalam masyarakat Malaysia kerana kestabilan politik amat penting bagi negara ini untuk terus membangun.

2.4 Penemuan baru : Bioteknologi dan Nanoteknologi

Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi berlaku dengan amat pesat dalam abad yang lepas dan dijangkakan momentumnya dijangka akan berterusan dalam abad ini. Penemuan yang baru, idea yang kreatif dan inovasi yang tidak terfikir pada abad-abad yang lepas telah menukar cara pembuatan barangan dan peralatan, serta bagaimana keperluan hidup asas manusia dipenuhi. Teori, prinsip dan hukum sains yang terdahulu mungkin perlu dijadikan pengetahuan latar belakang atau pengetahuan asas, sementara prinsip dan pengetahuan baru dikembangkan mengikut kemajuan terkini dalam bidang sains dan teknologi. Dua bidang terbaru dalam bidang sains dan teknologi yang menggegarkan dunia dalam dekad ini ialah bidang bioteknologi dan bidang nanoteknologi.

Bioteknologi merupakan teknologi yang memanfaatkan sistem biologi. Pemanipulasian sistem biologi telah dipermudahkan oleh kemajuan yang pesat dalam teknik biologi pada tahap molekul dan genetik. Nanoteknologi pula merupakan teknologi yang melibatkan bahan atau teknik dalam dimensi kurang daripada 1,000 nanometer (1nm = 0.000000001 m). Secara langsungnya, nanoteknologi membawa kesan menakjubkan kepada teknologi pembuatan yang melibatkan teknik pada aras atom dan molekul di mana kepersisan dan kejituan amat diperlukan.

Kedua-dua bidang bioteknologi dan nanoteknologi adalah bersifat ‘interdisciplinary’ atau saling berkaitan. Praktis bioteknologi seringkali memerlukan pemuafakatan antara ahli sains pelbagai disiplin, ahli pertanian, dan jurutera. Nanoteknologi pula telah diterokai oleh bidang fizik atomik, kejuruteraan elektrik, kimia, sains bahan, fizik numerikal, pengkomputeran. Di samping itu oleh kerana kedua-dua bidang ini berkaitan dengan penghasilan barangan secara komersial, ia memerlukan kerjasama ahli ekonomi. Ciri multi-disiplin ini menguatkan kepentingan konsep bioteknologi dan nanoteknologi untuk diberi pengenalan dalam kurikulum sekolah. Adalah dijangkakan kebanyakan jenis pekerjaan pada masa depan akan berkaitan dengan kedua-dua bidang ini. Murid kita perlu prihatin tentang perkembangan terkini ini agar mereka tidak menerima kejutan budaya bila mereka dewasa kelak.

3.0 MEMPERKASAKAN KURIKULUM PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan adalah penting untuk menyediakan seseorang untuk menghadapai masa depannya. Murid-murid perlu diberi pendidikan sebagai alat untuk menghadapi pelbagai tanggungjawab yang akan dihadapi dalam kehidupan mereka. Mereka perlu dibantu untuk menyediakan diri dalam kehidupan dan berupaya mengambil bahagian dalam ekonomi, kebudayaan dan politik. Mereka perlu belajar untuk mendapat pengetahuan dan kemahiran tertentu yang diperlukan dalam kehidupan untuk menjadi seorang warganegara yang bertanggungjawab dan bersedia memainkan peranan dalam aktiviti di peringkat antarabangsa. Namun, di samping menyediakan warga Malaysia ke arah masyarakat maju yang celi ICT dan bedaya saing dalam k-ekonomi, terdapat cabaran-cabaran dalaman/setempat (local) yang perlu ditangani dalam mencapai aspirasi ini.

3.1 Cabaran dalaman/setempat (local)

Dalam negara mencapai Wawasan 2020, masih terdapat sebilangan kecil murid dalam sistem pendidikan negara yang masih bergelut dengan masalah penguasaan literasi asas membaca, menulis dan mengira. Mereka tergolong dalam kumpulan kecil yang tercicir dari arus pendidikan negara. Pola komposisi murid ini lebih cenderung kepada mereka yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi yang rendah.

Seperkara yang turut diberi perhatian ialah merapatkan jurang pendidikan antara kaum melalui konsep ekuiti dalam pendidikan untuk semua. Ke arah itu, KPM memastikan semua rakyat Malaysia seharusnya mendapat peluang pendidikan yang setara tanpa mengira kaum, agama, lokaliti dan sosio-ekonomi dan budaya. Menyedari masih terdapat kelompok masyarakat yang seakan terpinggir dari arus pendidikan perdana, inisitaif daripada KPM ialah meneydiakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk memastikan masyarakat Orang Asli dan Penan di pedalaman turut menerima peluang, kemudahan dan kualiti pendidikan yang sama taraf dengan mereka yang berada di bandar.

Isu Pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semenjak 2003 turut menyumbang kepada diskusi intelek yang menyokong dan pada masa yang sama ada yang menolak dan menuntut supaya dasar ini dilihat semula. Namun, KPM pada dasarnya akan tetap melaksanakan dasar PPSMI melainkan diarahkan sebaliknya oleh ketetapan Menetri Pelajaran dan persetujuan Jemaah Menteri. Kajian keberkesanan pelaksanaan PPSMI bagi pelbagai peringkat persekolahan telah dan sedang dijalankan bagi mendapatkan maklumat tepat daripada para guru yang mengoperasikan dasar di sekolah dan murid yang mengalami sendiri pengalaman pembelajaran di bawah dasar tersebut.

3.2 Ciri-ciri Pendidikan Berkualiti (UNICEF 2000)

UNICEF mentakrifkan pendidikan berkualiti sebagai merangkumi aspek-aspek murid, persekitaran, kandungan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran serta sifat murid.

Dari aspek murid, pendidikan berkualiti dapat menghasilkan murid yang sihat, mendapat makanan yang mencukupi dan berzat bersedia untuk belajar secara aktif dan mendapat sokongan penuh dari keluarga dan komuniti.

Aspek persekitaran menekankan persekitaran yang sihat, selamat , sensitif terhadap perbezaan jantina dan dilengkapi dengan fasiliti dan resos yang mencukupi.

Pendidikan berkualiti juga perlu mempunyai kandungan kurikulum dan bahan pengajaran yang mengandungi kemahiran asas (seperti literasi dan numerasi), kemahiran pengurusan hidup, kemahiran dalam bidang-bidang seperti gender, kesihatan dan pemakanan, pencegahan HIV/ AIDS dan keamanan.

Proses-proses pengajaran dan pembelajaran yang meliputi guru terlatih, pendekatan pengajaran, pentaksiran ke arah membolehkan pembelajaran berlaku serta mengurangkan jurang perbezaan turut menyumbang kepada pendidikan berkualiti. Akhirnya aspek-aspek ini akan dapat menghasilkan murid yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai sikap yang positif.

3.3 Kuasa Penggerak Ke Arah Pencapaian Pendidikan Berkualiti

Di antara perkara yang menjadi kuasa penggerak ke arah pencapaian pendidikan berkualiti adalah:

i. Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

ii. Wawasan 2020

Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur, dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan.

iii. Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3)

a. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah alat penting bagi membantu memperoleh pengetahuan baru.

b. Sekolah akan dilengkapi dengan kemudahan membolehkan lebih banyak mata pelajaran diajar menggunakan teknologi interaktif, multimedia dan pengajaran menerusi laman web.

c. Sebahagian besar sekolah (termasuk luar bandar dan terpencil) akan dihubungkan menerusi intranet dan internet menjelang tahun 2010. Menangani kekurangan pelajar aliran sains masuk ke universiti dengan mempergiatkan penggunaan kaedah pembelajaran kontekstual dan menaik taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kualiti guru.

iv. Pembangunan Pendidikan 2001-2010

a. Input pendidikan yang berkualiti sama ada berbentuk fizikal dan bukan fizikal

i. sistem penyampaian

ii. tenaga kerja yang berkelayakan

iii. kurikulum yang relevan dengan keperluan masa hadapan

b. Orientasi dan Kandungan Kurikulum

i. menghasilkan sumber tenaga manusia yang kreatif, berdaya saing, ketahanan diri tinggi menguasai bahasa

ii. berkemahiran berkomunikasi, cekap dan berwibawa

iii. mampu meningkatkan penguasaan dalam 3M, sains dan teknologi dan ICT (Sejajar dengan persediaan negara ke arah mencapai K-ekonomi, menghadapi cabaran dalaman dan globalisasi serta persaingan ekonomi antarabangsa)

c. Aktiviti Kokurikulum

i. Menyokong usaha melahirkan insan yang seimbang dan tenaga kerja yang berkualiti

d. Penilaian

i. Memantau pencapaian kemajuan pembelajaran murid secara berterusan

ii. pengukuran perkembangan murid dari aspek intelek, kerohanian, emosi dan jasmani

iii. ujian rujukan kriteria disediakan untuk rujukan pentadbir, guru dan ibu bapa

e. Tenaga Pengajar Berkualiti

i. Kumpulan profesional terlatih

ii. Skim perkhidmatan lebih menarik seperti kenaikan pangkat, elaun dan insentif

iii. Kebajikan guru dipertingkat

iv. Meningkatkan kemahiran dalam ICT dan R&D

f. Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Berkualiti

i. Program penyediaan bahan Pengajaran Dan Pembelajaran

ii. Menilai kandungan buku teks supaya sesuai dengan perkembangan semasa

iii. Guru diberi pendedahan penggunaan buku teks dan teknologi pendidikan dalam penyediaan BBM

iv. Melengkapkan Pusat Kegiatan Guru (PKG), Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP)

v. Pendidikan Taraf Dunia

Wawasan ke arah melahirkan generasi mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjanakan idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.

Guru bersifat responsif, proaktif serta dapat membuat penyesuaian terhadap apa perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan akibat daripada perkembangan teknologi dan perledakan maklumat.

Aliran dunia sekarang sedang menuju ke arah penggabungan pasaran dunia menjadi satu. Kuasa oligopoli akan mewujudkan satu monopoli tunggal di dunia dan ini sudah pasti akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara.

Pendidikan perlu berasaskan kurukulum yang menepati keperluan pasaran dunia bagi menyediakan negara berhadapan dengan dunia yang serba mencabar ini.

vi. K-ekonomi

Membangunkan sumber manusia bagi mencipta tenaga kerja yang produktif, berdaya saing dan inovatif berasaskan pengetahuan sebagai pendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara. 4 Faktor sebagai asa pertimbangan adalah:

i. Modal intelektual (idea dan pemikiran sebagai modal, bukan lagi tanah, modal dan buruh)

ii. Teknologi maklumat dan komunikasi

iii. Globalisasi

iv. Ekonomi maklumat

3.4 Langkah-Langkah Ke arah Memperkasakan Kurikulum Pendidikan Negara

Kurikulum merupakan unsur utama dalam pengajaran dan pembelajaran yang perlu disemak dan dikemaskini dan diperkasakan selari dengan keperluan dan perkembangan semasa. Kualiti murid yang akan dihasilkan memerlukan kurikulum yang relevan dan untuk itu, semakan kurikulum (curriculum review) dari segi kandungan (content) dan pendekatan (pedagogy) mesti peka kepada keperluan persekitaran (sensitive to environment). Tuntutan kepada melahirkan masyarakat dalam era k-ekonomi dan bijak menggunakan ICT perlu menjadi unsur yang penting dalam semakan kurikulum ini. Keperluan sumber manusia dan tenaga kerja adalah antara faktor penting yang diambil kira dalam semakan ini.

Seterusnya, pelaksanaan kurikulum adalah penting di peringkat sekolah dan bilik darjah. Keberkesanan dan kejayaan sesebuah institusi pendidikan sangat bergantung kepada kemampuan guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Kepimpinan guru yang berkualiti di bilik darjah menjadi faktor kritikal dan penentu kepada keberkesanan pendidikan. Untuk itu, kualiti latihan praperkhidmatan guru bagi peringkat prasekolah, rendah dan menengah perlu diberi tumpuan khusus.

Untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat menarik minat murid dan berkesan, bahan dan sumber pengajaran yang berkualiti juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan pendidikan yang berkualiti. Peningkatan penggunaan bahan-bahan pengajaran berasaskan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan meningkatkan kualiti dan keberkesanan sistem persekolahan. Aspek inovasi dan kreatif dalam penyediaan sumber pengajaran perlu terus dikekalkan malah dipertingkatkan.

Bilik darjah dan aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang dijalankan di dalamnya harus mempunyai unsur-unsur yang menjurus kepada pemupukan semangat perpaduan. Keharmonian di bilik darjah hasil interaksi guru dan murid yang berbeza latar belakang dan kaum akan menjadi cermin yang menggambarkan perpaduan erat di kalangan pelbagai kaum di luar bilik darjah. Bilik darjah perlu menjadi pentas mendidik murid-murid supaya menghayati semangat perpaduan yang seterusnya akan dapat diamalkan di dalam kehidupan bermasyarakat di luar sekolah.

Tunjang kepada proses pendidikan adalah untuk melahirkan insan syumul, seimbang dan bersepadu berpaksikan kepada kepatuhan dan keyakinan kepada Tuhan yang kemudiannya dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat negara. Selaras dengan itu, perancangan kurikulum yang relevan ialah perancangan kurikulum yang mengambilkira senario abad ke-21 dan langkah-langkah yang sejajar dengan perkembangan yang berlaku. Di kebanyakan negara maju, perencanaan dan perancangan kurikulum adalah ke arah penyediaan individu yang menghadapi cabaran abad ke-21. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum yang relevan ialah kurikulum yang dapat memenuhi hasrat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020 serta agenda pembangunan negara.

Agenda pembangunan negara yang sering dikaitkan dengan Wawasan 2020 menggariskan usaha-usaha bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara moden dan maju, sebuah negara industri yang adil dan bermoral, berdaya saing dan berdaya maju, dan mempunyai keperibadian sendiri. Dalam pembangunan sebuah negara yang maju, masyarakat Malaysia memerlukan kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek, rohani dan emosi, dan jasmani. Sebagai sebuah negara maju, pembangunan pesat berlaku dalam pelbagai bidang khususnya sains dan teknologi, teknologi maklumat, pasaran dan industri.

Malaysia sebagai sebuah negara yang turut mempunyai teknologi tinggi pasti mengalami gelombang teknologi maklumat. Kemahiran-kemahiran penggunaan teknologi komputer untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat secara efisien dan bijak perlu diberi penekanan dalam kurikulum supaya murid bukan sahaja menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan produktif, tetapi juga warga global yang boleh “think globally and act rationally and locally”.

Antara langkah-langkah yang diambil bagi memperkasakan kurikulum pendidikan negara adalah seperti berikut:

i. Perubahan Dari Segi Perundangan

ii. Penyemakan Kurikulum

iii. Pembekalan Resos

iv. Pembangunan Profesionalisme Perguruan

v. Pengenalan Mata Pelajaran Vokasional (MPV)

vi. Pemantapan Program Bahasa Inggeris

vii. Pelaksanaan Program Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

viii. Penerapan Sains dan Teknologi

ix. Penekanan Aktiviti Kokurikulum

x. Pendidikan Nilai

4.0 HALATUJU KURIKULUM

Kurikulum bagi abad ke-21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan pada masa depan dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Dalam pembangunan kurikulum, aspek-aspek yang perlu dipertimbangkan adalah:

Empat Persoalan Utama

i. Apakah objektif pembelajaran yang hendak dicapai?

ii. Apakah pengalaman pembelajaran yang hendak dicapai?

iii. Bagaimanakah pengalaman pembelajaran boleh dirancang secara berkesan?

iv. Bagaimanakah cara menentukan hasrat pembelajaran sudah tercapai?

Enam Teras Utama

Kurikulum yang hendak dibangunkan hendaklah berteraskan perkara-perkara berikut:

i. Falsafah Pendidikan Kebangsaan

ii. Dasar Pendidikan Kebangsaan

iii. Wawasan 2020

iv. Rangka Rancangan Jangka Panjang ke 3

v. Perkembangan Dunia Semasa

vi. 4 Pillars of Education ( learning to know, learning to do, learning to live together and learning to be )

a. Belajar untuk mengetahui (learning to know):

Prinsip ini merujuk kepada pengetahuan dan konsep yang perlu dikuasai oleh murid. Ini direalisasikan dengan penggabungan pendidikan umum dengan beberapa mata pelajaran terpilih yang dapat memberi ruang untuk pendidikan seumur hidup.

b. Belajar untuk membuat (learning to do):

Prinsip ini merujuk kepada kebolehan atau kemahiran untuk menghadapi pelbagai situasi alam pekerjaan serta mampu bekerja dalam pasukan.

c. Belajar untuk hidup bersama (learning to live together):

Prinsip ini merujuk kepada sikap dan nilai yang menekankan toleransi, keamanan dan keharmonian dan hormat pada orang lain. Belajar untuk hidup bersama merupakan satu daripada isu utama dalam pendidikan masa kini memandangkan dunia hari ini sering dilanda keganasan. Oleh sebab itu, kita perlu membina satu kurikulum yang boleh mengelak atau menyelesaikan konflik secara aman dengan menganjurkan prinsip learning to live together dengan orang lain.

d. Belajar untuk menjadi insan sempurna(learning to be)

Prinsip ini merujuk kepada keupayaan berdikari dan mengamalkan pertimbangan dengan rasa tanggungjawab dalam usaha mencapai matlamat bersama. Untuk mencapai matlamat tersebut murid perlu dilengkapkan dengan daya ingatan, daya penaakulan, kemahiran berkomunikasi dengan orang lain serta perkembangan menyeluruh seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

4.1 Halatuju Pendidikan

Hasrat pendidikan kita adalah untuk menghasilkan murid berikut :

a. Murid yang seimbang dari segi intelek,rohani,jasmani dan emosi

i. Berilmu pengetahuan

ii. Berketerampilan

iii. Percaya pada tuhan

iv. Berakhlak mulia

v. Berkeyakinan

b. Warga negara yang bertanggungjawab

i. Berbudi

ii. Bersatu padu

iii. Patriotik

iv. Adil

v. Penyayang

vi. Berbakti

c. Global Player

i. Daya saing

ii. Daya tahan

iii. Jati diri

iv. Mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa antarabangsa

d. Pekerja berilmu

i. Inovatif

ii. Kreatif

iii. Dahagakan ilmu

iv. Menguasai ICT

v. Creators of techonology

vi. Belajar sepanjang hayat

Halatuju pendidikan pada masa depan bermatlamat untuk menghasilkan murid yang berkeyakinan, produktif, inovatif dan kreatif. Ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang boleh memenuhi keperluan pasaran kerja, mampu berdaya saing, mempunyai jati diri, dahagakan ilmu, bersifat antarabangsa dan menjadi pendorong pertumbuhan ekonomi negara. Warganegara Malaysia pada abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan dibawa oleh arus globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Mereka perlu merancang masa depan serta membuat pilihan yang bijak dan tepat, sesuai dengan budaya dan nilai-nilai semasa.

5.0 KOMPETENSI YANG DIPERLUKAN

Keprihatinan untuk menyediakan lepasan sekolah menghadapi dunia pekerjaan menuntut fokus diberi kepada menghasilkan generasi muda warga Malaysia yang mampu berdikari, boleh berfungsi dalam pasukan, dan mempunyai nilai-nilai yang sewajarnya untuk membolehkan mereka terus produktif dan berdaya saing di pasaran ekonomi tempatan, serantau, dan global.

Mengambil kira ciri-ciri di atas, penekanan kurikulum bukan setakat melibatkan mata pelajaran sebagai sumber utama ilmu, tetapi melengkapkan diri murid dengan kemahiran kognitif, interpersonal, dan kompetensi yang tinggi. Secara umumnya, kompetensi yang diperlukan itu mempunyai unsur-unsur seperti kemahiran hidup tertentu dan diperlukan untuk kejayaan kerjaya dan peribadi; kemahiran utama dan penting untuk penglibatan diri di dalam dunia pekerjaan dan organisasi kerja. Ia berfokuskan kepada keupayaan menyepadukan kemahiran dan pengetahuan di dalam pekerjaan; kemahiran yang boleh digunakan atau dipindahkan secara am di tempat kerja dan bukannya kemahiran teknikal dan khusus.

Aspek-aspek ini perlu ada pada murid dalam melaksanakan tugas dengan sempurna dan membolehkan murid memudahkan dan melaksanakannya dalam pelbagai situasi dalam alam pekerjaan dan kehidupan seharian. Ia merupakan persediaan bagi membolehkan murid menyesuaikan diri dan berjaya melaksanakan tugas di dunia pekerjaan yang diceburi kelak. Dalam konteks persekolahan di Malaysia, kompetensi yang dikenalpasti perlu diberikan penekanan adalah seperti berikut:

i. Kemahiran Generik

Kemahiran generik boleh dianggap sebagai kemahiran asas yang diperlukan seseorang individu untuk menjadi pekerja yang mahir, cekap, dan berketrampilan di tempat kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang berketrampilan menjadi aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pekerja yang mempunyai kepakaran akan begitu mobile dan mempunyai peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam bidang yang berlainan. Secara umumnya, kemahiran generik ini terdiri daripada yang berikut:

a. Kemahiran Asas: membaca, menulis, menggunakan idea dan teknik matematik, bertutur dan mendengar;

b. Kemahiran Berfikir: membuat pilihan dan keputusan berlandaskan sebab-sebab yang rasional, mengenal pasti andaian, idea, dan perspektif yang membawa kepada perubahan yang positif;

c. Kualiti Peribadi: atribut-atribut yang membantu murid berdikari dan mampu berinteraksi dengan individu lain atau bekerja dalam kumpulan. Antara atribut itu ialah motivasi dan inisiatif kendiri, kejujuran dan integriti, sociability, pengurusan kendiri, serta etika kerja cemerlang.

ii. Kemahiran Berkomunikasi

Kemahiran yang melibatkan seseorang individu itu menunjukkan kebolehan untuk mendengar dan mampu berkomunikasi secara verbal dan bertulis dalam semua situasi manusia sama ada di tempat kerja atau dalam kehidupan. Seseorang individu juga harus mampu menyatakan pemikirannya secara tersusun dan logikal supaya mudah difahami orang lain. Kemahiran berkomunikasi ini termasuk juga bahasa bukan verbal yang disampaikan semasa kita bercakap dan menulis kepada orang lain.

iii. Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Kemahiran yang melibatkan penggunaan peralatan teknologi komunikasi atau sistem rangkaian elektronik yang boleh digunakan untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur, dan menyampaikan maklumat secara pantas dan cekap, seperti internet atau multimedia.

iv. Kemahiran Menyelesaikan Masalah

Kemahiran ini melibatkan penggunaan kemahiran penyelesaian masalah dalam pelbagai cara dan situasi, termasuk situasi yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam mencapai sesuatu keputusan. Pemikiran kritis dan membuat kesimpulan berasaskan maklumat yang diberikan adalah kritikal dalam alam pekerjaan dan kehidupan. Pemikiran kreatif pula ialah kebolehan berfikir dalam cara yang asli atau unik. Kreativiti membolehkan kita berfikir secara lateral dan melihat situasi tertentu dari perspektif yang berbeza atau melakukan sesuatu dengan lebih baik.

v. Kemahiran Sosio-Emosi

Kemahiran sosio-emosi ialah keupayaan mengenali perasaan diri sendiri dan perasaan orang lain, untuk memotivasi diri dan mengurus emosi kendiri dan emosi hasil interaksi dengan orang lain. Secara umumnya, kemahiran ini merangkumi aspek-aspek mengurus diri sendiri dan hubungan diri dengan orang lain. Antara perkara yang termasuk dalam pengurusan diri sendiri ialah kesedaran kendiri, harga diri, mengendalikan perasaan kendiri, dan motivasi kendiri. Aspek hubungan diri dengan orang lain pula melibatkan kemahiran mengendalikan hubungan manusia dan melahirkan perasaan empati.

vi. Kemahiran Kerjaya

Kemahiran Kerjaya membolehkan murid kita celik kerjaya dan berupaya menangani cabaran dunia pekerjaan masa depan. Dalam konteks dunia yang pesat berubah, kebolehan untuk merancang dan mengelola aktiviti diri sendiri termasuk penggunaan masa dan sumber, berupaya untuk menentukan keutamaan dan mengawasi pencapaian diri adalah penting. Kemahiran kerjaya juga melibatkan keberkesanan individu berinteraksi dan bekerja dengan orang lain dan dalam kumpulan dalam usaha mencapai matlamat tugasan atau organisasi.

vii. Kemahiran Kesedaran Global

Kemahiran ini menjadi suatu aset yang penting untuk membolehkan pekerja kita mengambil tempat sewajarnya di arena antarabangsa sebagai global players seiringan dengan arus globalisasi dunia tanpa sempadan. Antara kemahiran yang berguna ialah:

a. Kefleksibelan: kebolehan membuat penyesuaian kepada idea baru, teknologi baru, dan perubahan budaya. Individu yang fleksibel lebih senang menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di tempat kerja, perubahan kerja, dan menguasai kemahiran bolehguna;

b. Pelbagai Bahasa: kebolehan pelbagai bahasa antarabangsa utama dunia;

c. Padan Budaya: kebolehan menyesuaikan diri dalam sesuatu persekitaran kerja seperti syarikat multinasional.

viii. Kemahiran Kepimpinan

Kemahiran Kepimpinan boleh mengambil bentuk yang berlainan. Secara umumnya, pemimpin ialah individu mahir yang bervisi dan berorientasikan matlamat. Mereka menampakkan ciri-ciri berpencapaian tinggi, mengambil risiko, dan boleh memotivasi orang lain.

6.0 PENGISIAN PROGRAM

Untuk memastikan sistem pendidikan kita tidak ketinggalan dalam persaingan menghadapi cabaran globalisasi abad ke-21, pelbagai program dirancang dan dilaksanakan sebagai pengisian bagi mencapai halatuju pendidikan berkualiti.

6.1 PENDIDIKAN BAHASA

i. Bahasa Kebangsaan

Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan di semua sekolah. Ia berfungsi sebagai bahasa pengantar utama di semua Sekolah Kebangsaan(SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Ia juga menjadi mata pelajaran yang wajib diajar di semua Sekolah Jenis Kebangsaan iaitu di SJK(C) dan SJK(T).

ii. Bahasa Kedua

Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua di semua SK, SJK(C), SJK(T) dan SMK. Mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris di Tahun 1 , Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah mulai tahun 2003 dan diikuti oleh Tahun 2, Tingkatan 2, Tingkatan 6 Atas dan Matrikulasi pada tahun-tahun berikutnya.

iii. Bahasa Ibunda

Bahasa Cina (BC) dan Bahasa Tamil (BT) diajar sebagai Bahasa Ibunda di SK dan SMK apabila terdapat permintaan daripada sekurang-kurangnya 15 orang ibu bapa untuk mengajar bahasa berkenaan. BC digunakan sebagai bahasa pengantar di SJK(C) dan BT digunakan sebagai bahasa pengantar di SJK(T).

iv. Bahasa Tambahan

Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT) dan Bahasa Arab (BA) diajar sebagai Bahasa Tambahan di SK. Permintaan daripada ibu bapa tidak diperlukan untuk membuka kelas-kelas tersebut. Ia dilaksanakan mulai tahun 2007 sebagai sebahagian daripada inisiatif memeprkasakan sekolah kebangsaan dan menggalakkan lebih ramai ibu bapa memilih sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan untuk pengajaran dan pembelajaran anak-anak mereka dalam sistem pendidikan Malaysia.

v. Bahasa Antarabangsa

Bahasa Jepun, Bahasa Perancis dan Bahasa Jerman kini diajar sebagai Bahasa Antarabangsa di sekolah berasrama penuh. Bahasa-bahasa berkenaan akan diperkenalkan di sekolah harian secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2005. PPK bercadang memperkenalkan Bahasa Korea dan Bahasa Rusia pada masa akan datang.

vi. Bahasa Etnik

Bahasa Semai, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Iban diajar sebagai Bahasa Etnik di SK dan SMK bagi murid kaum asli di Semenanjung dan kaum bumiputra di Sabah dan Sarawak.

6.2 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

Kerajaan telah membuat keputusan tentang Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di semua sekolah rendah dan menengah bermula dengan Tahun 1, Tingkatan 1 dan Tingkatan Enam Rendah pada tahun 2003. Dasar ini dilaksanakan atas kesedaran bahawa ilmu dalam bidang sains dan teknologi memainkan peranan dan menjadi asas penting dalam kemajuan dan pembangunan negara. Sains dan matematik merupakan dua bidang ilmu yang sangat dinamik dan pelbagai inovasi penemuan baru berlaku hampir setiap hari melalui penyelidikan dan pembangunan. Bidang ini juga berkembang pesat melalui pelbagai media terutamanya dalam bahasa Inggeris. Pendedahan awal kepada pelajar memberi peluang kepada pelajar untuk mengakses maklumat dan mengikuti perkembangan terkini terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Sepanjang tahun 2003 dan 2004, persediaan menyeluruh telah dibuat yang melibatkan tenaga dan kos yang besar bagi memastikan guru dan murid dapat melaksanakan perubahan. Keupayaan KPM khususnya guru-guru melaksanakan program ini dengan licin serta dapat mengatasi beberapa masalah terpencil adalah merupakan satu kejayaan. Di sebalik itu, masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan ruang yang perlu dibaiki. Dalam keadaan ini semua lapisan masyarakat perlu terus memberi sokongan yang tak berbelah bagi kepada guru dan Kementerian Pelajaran Malaysia agar pelaksanaan PPSMI ini benar-benar mencapai matlamatnya. Pihak kerajaan akan terus komited untuk memastikan dasar ini mencapai matlamat dan objektifnya.

6.3 MATA PELAJARAN VOKASIONAL DI SEKOLAH HARIAN

Program mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah harian mula dilaksanakan pada tahun 2002 secara berperingkat dan berstatus mata pelajaran elektif di Tingkatan 4 dan 5 . Program ini menawarkan 22 subjek MPV yang dilaksanakan melalui empat fasa. Semua mata pelajaran ini berfokus kepada kemahiran vokasional yang bernilai komersil dan direka bentuk berdasarkan lima bidang usaha iaitu pembuatan, pembinaan, agro teknologi, ekonomi rumah tangga dan aplikasi komputer.

6.4 PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.

6.5 PENDIDIKAN AGAMA ISLAM DAN MORAL

Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral adalah wadah kepada pembangunan insan. Pengukuhan kepada pegangan ajaran agama beserta dengan penerapan nilai-nilai murni di peringkat awal dapat membendung penularan fahaman dan amalan yang bercanggah dengan syariat kehidupan mulia.

6.6 PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial bertujuan untuk membolehkan murid memperolehi pengetahuan tentang perubahan fizikal, emosi, dan sosial serta memupuk sikap dan nilai positif murid terhadap perkembangan seksualiti. Kurikulum ini membina kemahiran diri murid untuk memelihara perhubungan peribadi, kehidupan keluarga, sahabat dan keahlian dalam masyarakat.

6.7 PROGRAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENDIDIKAN

Mata pelajaran dan program yang berasaskan komputer telah mula ditawarkan di peringkat SPM. Di antaranya ialah mata pelajaran:-

i. Mata Pelajaran Teknologi Maklumat (1999)

ii. Mata Pelajaran Produksi Multimedia

iii. Mata pelajaran Grafik Berkomputer

iv. Program Literasi Komputer

v. Penggunaan Komputer dalam Pengajaran dan Pembelajaran merentasi kurikulum.

vi. Projek Malaysian SchoolNet

vii. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

viii. Grid Pembelajaran Kebangsaan (Malaysia Grid For Learning – MyGfL)

6.8 PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran dan mengukuhkan mutu pendidikan negara. Pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik akan membosankan murid dan seterusnya mempengaruhi pencapaian murid. Satu strategi pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR dan KBSM yang mempunyai potensi tetapi tidak diamalkan sepenuhnya ialah pembelajaran di luar bilik darjah.

Pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan berkesan jika dilaksanakan secara elektif dan bijaksana. PLBD adalah satu aktiviti terancang dengan objektif yang jelas. Pembelajaran dan pengajaran secara ini lebih berbentuk penerokaan yang berpusatkan murid.

7.0 PENUTUP

Bagi menjana satu sistem pendidikan yang berkualiti, maka kurikulum yang dihasilkan perlu relevan dan dinamik dengan kehendak semasa disamping turut mengambil kira keperluan-keperluan masa akan datang. Ini adalah perlu kerana budaya pendidikan semasa mempunyai kaitan lansung dengan segala bentuk perubahan yang melibatkan struktur sosial, ekonomi, dan politik di dalam negara mahupun di seluruh dunia.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, kurikulum perlu memberi penekanan kepada aspek perpaduan untuk mengekalkan social cohesion (kejeleketan sosial). Di samping itu, kurikulum juga perlu menyemai semangat patriotisme dan semangat cintakan negara dikalangan semua lapisan masyarakat. Ini secara lansung menjamin pembangunan sistem pendidikan berkualiti dan seterusnya melengkapkan agenda pembangunan negara.

Rujukan:

Delors, Jacques. Learning: The Treasure Within . Report to UNESCO of International Commission on Education for the Twenty-first Century

Fatimah Daud (1992). Pengenalan Teori-Teori Sosiologi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Goleman, D. (1998). Working with Emotional Intelligence. New York: Bantam Books.

Mohamad Hassan Zakaria and Wan Fara Adlina Wan Mansor (2002). Towards A Culturally Sensitive Curriculum: An Indispensable Reform. In Proceedings of ICEFA 2002 Volume II International Conference on Education For All. Faculty of Education, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21: Pengembangan dan Penekanan. Jurnal Kurikulum . Jil. 1 Bil. 1, 32 – 53.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. (1995). Kertas Konsep Kemahiran Generik. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tawil S. and Harley A. (Eds) (2004). Education, Conflict and Social Cohesion. International Bureau of Education, Geneva.

Lampiran 1

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK

DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

Dasar ini dibuat atas kesedaran bahawa ilmu dalam bidang sains dan teknologi berkembang pesat melalui pelbagai media, termasuklah media elektronik yang menggunakan Bahasa inggeris (BI). Sains dan matematik merupakan dua bidang ilmu yang sangat dinamik dan pelbagai inovasi dan penemuan baru berlaku hampir setiap hari melalui penyelidikan dan pembangunan. Bidang ini juga memainkan peranan dan menjadi asas penting dalam kemajuan dan pembangunan negara. Jika dilihat negara-negara maju, penerokaan dalam bidang sains dan teknologi telah membawa negara berkenaan ke tahap kemajuan yang tinggi.

Kita semua maklum bahawa Bahasa Inggeris (BI) adalah bahasa ilmu dan bahasa perhubungan antarabangsa. Penguasaan yang baik dalam bahasa Inggeris akan membolehkan seseorang itu mendapat akses kepada maklumat dan mengikuti perkembangan terkini terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Pada masa kini, sebahagian besar daripada maklumat terkini mengenai perkembangan dalam bidang ini sama ada dalam elektronik atau bukan elektronik terdapat dalam Bahasa Inggeris. Sudah tentunya seseorang yang cekap berbahasa Inggeris akan mempunyai `advantage’ dalam hal ini dibandingkan dengan seseorang yang lemah dalam bahasa berkenaan. Oleh itu, pendedahan yang awal kepada sains dan matematik dalam BI akan membolehkan murid mengakses maklumat dan menerokainya. Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa objektif utama PPSMI bukanlah untuk meningkatkan penguasaan BI walaupun pada akhirnya ini merupakan salah satu daripada hasil pelaksanaan dasar ini.

Secara khusus, tujuan dasar PPSMI ini ialah untuk membolehkan murid :

i. mengakses ilmu yang berasaskan sains, matematik dan teknologi dalam BI;

ii. berkomunikasi mengenai sains, matematik dan teknologi dalam BI;

iii. berfikir dan melahirkan idea sains, matematik dan teknologi dalam BI;

iv. menghasilkan bahan inovasi/reka cipta

Ekoran beberapa pembentangan kepada Jemaah Menteri, dan beberapa siri pertemuan dengan pelbagai pihak seperti ahli akademik, kesatuan-kesatuan guru, pendidik, jurulatih sains dan matematik serta guru-guru sekolah rendah dan menengah yang telah dibuat untuk meneliti cadangan ini serta mendapat pandangan mereka, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan Strategi Pelaksanaan PPSMI dengan bermula untuk Tahun 1, Tingkatan 1 dan Tingkatan Enam Rendah pada tahun 2003. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai keadaan infrastruktur, kesediaan guru, kesediaan murid dan persekitaran yang berbeza di kalangan sekolah, masa untuk persediaan pelaksanaan serta implikasi kewangan.

Bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut jadual, licin dan berkesan, KPM telah membuat persediaan yang menyeluruh sebaik sahaja keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri. Antaranya ialah aspek keperluan guru dan murid seperti berikut:

i. Penyediaan Kurikulum Sains & Matematik yang dialihbahasa sesuai diajar dalam bahasa Inggeris

ii. Program latihan bagi guru;

iii. Pembekalan buku skrip, teaching courseware untuk guru

iv. Pembekalan bahan pembelajaran murid

v. Pemberian insentif kepada guru-guru sains, matematik dan BI;

vi. Pembekalan peralatan ICT

vii. Penyediaan kemudahan infrstruktur asas seperti elektrik dan talian telefon di sekolah pedalaman

viii. Penyediaan soalan-soalan peperiksaan dalam dwibahasa;

ix. Sesi penyebaran maklumat kepada semua pihak berkepentingan

x. Memantau dan memberi bimbingan kepada sekolah.

Satu komponen penting dalam menjayakan perubahan ini ialah penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Hasratnya adalah kemudahan ICT akan membawa perubahan dalam cara guru mengajar dalam bilik darjah, menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan, di samping mewujudkan suasana BI.

Pada tahun 2004, pelaksanaan PPSMI diperluaskan ke kelas-kelas Tahun 2, Tingkatan 2, Tingkatan Enam Atas dan Matrikulasi. Program ini seterusnya akan dilaksanakan di peringkat yang lebih tinggi hingga meliputi semua peringkat pada tahun 2008. Oleh yang demikian, aspek-aspek persediaan terus dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kelas-kelas yang berkenaan di samping meningkatkan keberkesanan pelaksanaan di kelas-kelas yang sedang melaksanakan program ini.

Sepanjang tahun 2003 dan 2004, pemantauan dan kajian telah dijalankan bagi mengumpul maklumat kearah meningkatkan keberkesanan PPSMI. Dapatan dari pemantauan menunjukkan:

i. semua sekolah telah bersedia dari segi perancangan, guru dan bahan

ii. pelaksanaan juga berjalan licin

iii. terdapat sokongan dan penglibatan pelbagai pihak

iv. tahap pencapaian yang pelbagai mengikut sekolah

Dapatan pemantauan juga menunjukkan terdapat beberapa masalah terpencil yang dihadapi guru dan murid. Antaranya ialah tentang keupayaan sebahagian guru dan murid menggunakan BI sepenuhnya di bilik darjah, perubahan budaya pengajaran serta penggunaan ICT. Terdapat juga murid terutamanya di luar bandar yang tidak mampu berinteraksi atau bertanya soalan disebabkan masalah bahasa. Masalah ini memang telah dijangkakan terutama di peringkat awal pelaksanaan kerana guru dan murid perlu mengambil masa untuk membiasakan dengan perubahan. Dalam keadaan ini guru dan murid perlu terus diberi sokongan dan bimbingan.

Lampiran 2

PELAKSANAAN MATA PELAJARAN VOKASIONAL

DI SEKOLAH MENENGAH AKADEMIK

Senarai MPV dan fasa pelaksanaannya adalah seperti berikut:

Tahun Pelaksanaan Mata Pelajaran Vokasional Bidang Usaha

2002

FASA I 1. Pembinaan Domestik Pembinaan

2. Membuat Perabot Pembuatan

3. Seni Reka Tanda Pembuatan

4. Menservis Peralatan Elektrik Domestik Pembuatan

5. Rekaan dan Jahitan Pakaian ERT

6. Katering dan Penyajian ERT

7. Landskap dan Nurseri Agro Teknologi

8. Tanaman Makanan Agro Teknologi

2003

FASA II 9. Produksi Multimedia Aplikasi Komputer

10. Grafik Berkomputer Aplikasi Komputer

2004

FASA III 11. Pendawaian Domestik Pembinaan

12. Menservis Automobil Pembuatan

13. Menservis Peralatan Penyejukan dan Penyamanan Udara Pembuatan

14. Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut ERT

15. Hiasan Dalaman Asas Pembinaan & ERT

16. Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak ERT

17. Pemprosesan Makanan ERT

18. Akuakultur dan Haiwan Rekreasi Agro Teknologi

2005

FASA IV 19. Kerja Paip Domestik Pembinaan

20. Kimpalan Arka dan Gas Pembinaan

21. Menservis Motosikal Pembuatan

22. Gerontologi Asas & Perkhidmatan Geriatrik ERT

MPV berhasrat untuk membekalkan murid dengan kemahiran yang relevan dan bermakna agar mereka boleh mendapat pekerjaan, membuka perniagaan sendiri atau melanjutkan latihan ke peringkat lebih tinggi. Program baru ini merupakan inisiatif Kementerian Pelajaran bagi mencapai sasaran 30 peratus murid Tingkatan 4 dan 5 mendapat akses dalam pendidikan teknikal dan vokasional menjelang tahun 2010. Sehingga Fasa IV iaitu pada tahun 2005, kesemua 22 MPV dapat dilaksanakan di 440 sekolah (630 bengkel ubahsuai).

Perancangan program MPV disusun dengan melibatkan beberapa strategi pelaksanaan iaitu penggubalan kurikulum, pembangunan prasarana dan pembiayaan, penyelarasan aktiviti program MPV, penyediaan personel dan latihan, serta perancangan pentaksiran modular yang holistik, fleksibel dan berpusatkan murid. Penilaian keberkesanan program MPV pula dijalankan secara berterusan melalui pemantauan dan kajian oleh Jemaah Nazir Sekolah dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK).

Pelaksanaan MPV menyaksikan bagaimana sumber yang ada khususnya sumber manusia, digemblengkan secara cekap sebagai usaha awal bagi merealisasikan kehendak negara dalam menyediakan tenaga kerja mahir dan terlatih untuk pembangunan negara. Dalam usaha penambahbaikan kurikulum dan bahan kurikulum MPV yang direka bentuk berasaskan penguasaan kemahiran vokasional yang bernilai komersil, sektor industri telah dilibatkan sama. Hal ini adalah bagi memastikan kemahiran dan kompetensi yang mesti dicapai dalam semua 22 MPV serta teknologi terkini yang digunakan menepati keperluan semasa. Pihak industri juga dilibatkan dalam memberi latihan teknikal kepada seramai 714 guru MPV melalui sejumlah 27 jenis kursus peningkatan kemahiran yang diadakan sepanjang tahun 2002 hingga 2004. Pendedahan kepada kemahiran yang khusus, teknologi terkini dan persekitaran industri sebenar semasa menjalani kursus peningkatan menghasilkan guru yang lebih kompeten dan berkeyakinan untuk mengajar MPV. Selain itu, pihak industri juga terlibat dalam memberi ceramah atau demonstrasi bagi membantu guru mengajar kemahiran-kemahiran yang kritikal.

Hasil pelaksanaan program MPV sejak tahun 2002 adalah amat berjaya. Kejayaan ini dapat dilihat melalui hasil produk murid dalam modul pembelajaran MPV yang diikuti; hasil kerja murid dalam lima pameran MPV peringkat kebangsaan yang telah dianjurkan oleh PPK; sumbangan murid kepada sekolah seperti mengindahkan landskap dan mengendalikan majlis jamuan sekolah; pengurangan kes ponteng sekolah dan peningkatan permintaan daripada sekolah dan masyarakat untuk menawarkan MPV. Kemahiran yang diperoleh murid juga dapat dibuktikan oleh pencapaian cemerlang murid MPV kohort pertama dalam peperiksaan SPM tahun 2003 bagi MPV. Dalam peperiksaan tersebut tujuh daripada lapan MPV mencapai kelulusan lebih 99% dengan tiga daripadanya mencapai kelulusan 100%. Murid lepasan MPV juga berpeluang menduduki peperiksaan kendalian pusat latihan industri selepas mengikuti kursus jangka pendek yang disediakan.

Secara keseluruhan dapat dikatakan bahawa pelaksanaan MPV telah memberi nafas baru kepada golongan murid di sekolah harian yang cenderung kepada aliran teknikal dan vokasional dalam meluaskan peluang kerjaya mereka. Kesan faedah ini akhirnya dinikmati semula oleh sektor industri apabila lebih ramai lepasan sekolah dalam bidang teknikal dan vokasional bersedia untuk bekerja atau diberi latihan lanjutan.

Lampiran 3

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan

Mata pelajaran ini digubal secara tematik seperti berikut:

Sekolah Rendah Sekolah Menengah

Tema Tema

Sayangi Diri

Sayangi Keluarga

Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat

Kenali Budaya Malaysia

Malaysia Negaraku

Sedia Hadapi Cabaran Pencapaian Kendiri

Hubungan Kekeluargaan

Hidup Bermasyarakat

Warisan Kepelbagaian Budaya Malaysia

Malaysia Negara Berdaulat

Cabaran Masa Depan

Penggubalan tema ini mengambil kira dimensi peribadi dan sosial murid yang berkembang dari diri individu, hubungan dengan keluarga, komuniti sekolah, masyarakat luar sekolah, negara dan cabaran masa depan.

Komponen Amali PSK

Murid juga diwajibkan menjalani kerja amali secara berkumpulan di peringkat sekolah rendah dan menengah sekurang-kurangnya 10 jam setahun. Kerja amali ini dilakukan di luar jadual waktu persekolahan.

Di peringkat sekolah rendah, aktiviti ini dikenali sebagai Projek Kewarganegaraan dan murid dikehendaki menghasilkan laporan dalam bentuk portfolio. Projek yang dilaksanakan adalah mengikut tahun dan tema seperti berikut:

Tahun Tema

4 Sayangi Diri

Sayangi Keluarga

5 Hidup Bersama di Sekolah dan Masyarakat

Kenali Budaya Malaysia

6 Malaysia Negaraku

Sedia Hadapi Cabaran

Di peringkat sekolah menengah aktiviti ini dikenali sebagai Khidmat Masyarakat dan murid dikehendaki menghasilkan laporan bertulis. Projek yang dilaksanakan adalah mengikut tingkatan dan tema seperti berikut:

Tingkatan Tema

1 Pencapaian Kendiri

Hubungan Kekeluargaan

2 Hidup Bermasyarakat

3 Warisan Kepelbagaian Budaya Malaysia

4 Malaysia Negara Berdaulat

5 Cabaran Masa Depan

Pelaksanaan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan

Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan diperkenalkan secara berperingkat mulai tahun 2005 untuk murid Tahun 4 dan Tingkatan 1. Mata pelajaran ini merupakan mata pelajaran teras untuk semua murid tahap dua di sekolah rendah dan semua murid sekolah menengah. Jadual pelaksanaan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah seperti berikut:

Tahun Peringkat

2005 Tahun 4 dan Tingkatan 1

2006 Tahun 5 dan Tingkatan 2

2007 Tahun 6 dan Tingkatan 3

2008 Tingkatan 4

2009 Tingkatan 5

Peruntukan waktu bagi Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ialah 2 waktu untuk sekolah rendah dan menengah. Di peringkat sekolah rendah, 2 waktu diambil daripada mata pelajaran Kajian Tempatan, manakala bagi sekolah menengah peruntukan waktu akan dilihat dari penstrukturan semula jadual waktu persekolahan.

Pusat Perkembangan Kurikulum telah mengadakan kursus Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran ini untuk seluruh negara. Jabatan Pelajaran Negeri dengan kerjasama JU bertanggungjawab memberi kursus kepada guru-guru PSK di peringkat negeri.

Murid sekolah rendah dibekalkan buku teks, manakala murid sekolah menengah dibekalkan modul PSK. Penilaian bagi mata pelajaran ini adalah berasaskan sekolah.

Lampiran 4

PENDIDIKAN KEKELUARGAAN DAN SEKSUALOGI

Antara elemen pendidikan kesihatan keluarga/seksualiti dalam pendidikan kesihatan adalah seperti berikut:

BIDANG / UNIT PEMBELAJARAN HURAIAN

Tahun 2

Pengurusan kesihatan diri

menjaga pakaian dan alat keperluan diri.

Memahami perasaan

Perasaan kasih sayang kepada ibu bapa, guru dan rakan

Perbezaan organ seksual antara bayi lelaki dan perempuan

Cara penjagaan pakaian dan alat keperluan diri

Cara menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa, guru dan rakan.

Cara bersalaman dengan ibu bapa.

Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa.

Cara menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa.

Perbezaan fizikal antara bayi lelaki dan perempuan.

Tahun 4

Pengenalan sistem pembiakan

Lelaki

Perempuan

Seksualiti

Akil baligh

Perubahan fizikal

Pengurusan kesihatan diri

Amalan asas kesihatan

Penjagaan kebersihan diri khasnya organ seksual

Pemeriksaan kesihatan

Alatan kebersihan diri

- Tuala wanita

- Pakaian dalam

- Sabun dan bedak

- Shampoo

Organ-organ dalam sistem pembiakan manusia

Tanda-tanda fizikal akil baligh.

Perubahan fizikal lelaki dan perempuan pada peringkat akil baligh.

Amalan asas kesihatan harian dari segi aktiviti penjagaan kebersihan diri, pakaina, alat keperluan diri.

Tahun 6

Seksualiti

perubahan fiikal yang dialami oleh remaja

saiz otot

pertumbuhan bulu

pertumbuhan payu dara

paras rupa

Menjaga kebersihan diri dan kedihatan tubuh badan

Perubahan bahagian tubuh badan semasa awal remaja

Pertumbuhan fizikal dari kanak-kanak ke peringkat remaja.

Penjagaan diri dan kesihatan tubuh badan.

Kepentingan penjagaan kebersihan fizikal semasa remaja.

Tingkatan 4

Akibat seks sebelum kahwin

Sosial dan moral

melanggar hukum agama

Fizikal

mengandung

mengulangi perbuatan

Mental

Masa depan gelap

Tekanan emosi

1. Akibat seks sebelum kahwin

Tingkatan 5

Akibat seks tidak normal

Definisi

Hubungan sejenis

Heteroseksual

HIV / AIDS

Penyakit STD (kelamin)

Seksualiti

Akibat seks sebelum kahwin

mengandung

keruntuhan moral

mencemarkan nama baik keluarga

masa depan gelap

mengulangi perbuatan terkutuk

pembuangan anak

Akibat seks tidak normal terhadap kesejahteraan masyarakat.

Risiko seks tidak normal.

Kesan seks sebelum kahwin

Lampiran 5

Matapelajaran Teknologi Maklumat (1999)

Matlamat kurikulum Teknologi Maklumat peringkat sekolah ialah untuk membentuk murid yang berpengetahuan secara menyeluruh tentang tekonologi maklumat dan berkemahiran menangani maklumat dengan menggunakan teknik dan perkakasan teknologi maklumat bagi menyelesaikan masalah. Di samping pengetahuan dan kemahiran, kurikulum Teknologil Maklumat juga membentuk murid yang bersikap positif terhadap impak dan sumbangan teknologi maklumat kepada masyarakat dan kehidupan harian, supaya dapat menyumbang secara berkesan dan sepenuhnya dalam masyarakat dan ekonomi berteknologi di tempat mereka hidup dan bekerja.

250 buah sekolah telah menawarkan mata pelajaran ini sejak tahun 1999. Setiap sekolah yang ingin menawarkan mata pelajaran ini perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan menerusi surat makluman KP(PPK)016/62/Jld.1(51) bertarikh 15/2/2000. Kementerian membekalkan peralatan dan perisian tambahan untuk pelaksanaan mata pelajaran ini.

Mata Pelajaran Produksi Multimedia

Mata pelajaran ini mula ditawarkan kepada murid peringkat SPM pada tahun 2003. Ia digubal dengan tujuan untuk menghasilkan murid yang berpengetahuan tentang kaedah dan proses penghasilan produk multimedia serta kebolehan untuk menggunakan peralatan khusus bagi menghasilkan produk multimedia yang menarik dan berkualiti. Pengalaman yang diperoleh melalui mata pelajaran ini membolehkan murid untuk terus menceburi bidang pekerjaan yang berkaitan dengan pengiklanan, rakaman studio dan penyiaran.

8 buah sekolah telah menawarkan mata pelajaran ini. Sekolah-sekolah berkenaan dilengkapkan dengan sebuah makmal komputer yang diubah suai dan peralatan yang diperlukan. Pada tahun 2004, pelaksanaan mata pelajaran ini dipeluaskan ke 19 buah sekolah lagi.

Mata pelajaran Grafik Berkomputer

Mata pelajaran Grafik Berkomputer digubal dengan tujuan untuk menghasilkan murid yang berpengetahuan tentang kaedah dan proses penghasilan produk grafik serta berkebolehan untuk menghasilkan produk grafik yangl menarik dan berkualiti menggunakan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi. Pengalaman yang diperoleh melalui mata pelajaran ini membolehkan murid untuk terus menceburi bidang pekerjaan yang berkaitan dengan penerbitan dan pengiklanan.

8 buah sekolah telah menawarkan mata pelajaran ini. Sekolah-sekolah berkenaan dilengkapkan dengan sebuah makmal komputer yang diubah suai dan peralatan yang diperlukan. Pada tahun 2004, pelaksanaan mata pelajaran ini dipeluaskan ke 28 buah sekolah lagi.

Program Literasi Komputer

Pada tahun 2005 Kementerian Pendidikan akan melaksanakan satu lagi mata pelajaran baru iaitu mata pelajaran Literasi ICT untuk murid-murid sekolah rendah. Mata Pelajaran ini bertujuan untuk memberi kemahiran asas tentang penggunaan perkakasan dan perisian komputer bagi membantu murid-murid meningkatkan prestasi pembelajaran menggunakan ICT. 75 buah sekolah telah dipilih untuk melaksanakan mata pelajaran ini.

Penggunaan Komputer dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Penggunaan ICT telah diperluaskan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran berikut dipertingkatkan dengan bantuan penggunaan keomputer sebagai alat Bantu mengajar. Perisian-persian pendidikan yang sesuai telah dikenal pasti dan dibekalkan untuk tujuan ini.

i. Mata pelajaran Reka Cipta

Di antara objektif mata pelajaran ini adalah untuk membolehkan murid menggunakan Reka Bentuk Berbantu Komputer (CAD) dalam perekaan produk. Sekolah-sekolah yang terpilih adalah sekolah-sekolah yang telah memiliki perkakasan komputer. Manakala perisian Reka Bentuk Berbantu Komputer (CAD) dan SCAD) dibekalkan.

ii. Mata pelajaran Seni Visual

Sekolah-sekolah yang terpilih dibekalkan dengan 2 komputer dan 1 perisian Adobe Photoshop. Murid menggunakan komputer dan perisian yang dibekalkan untuk menghasilkan lukisan berbantu komputer.

iii. Mata pelajaran Bahasa Melayu

Semua sekolah menengah dan 80% sekolah rendah telah dibekalkan dengan perisian Dewan Eja. Murid menggunakan perisian ini untuk membantu mereka mengarang. Perisian ini boleh membantu murid menyemak ejaan, erti perkataan dan struktur ayat.

iv. Mata pelajaran Bahasa Inggeris

Dalam tahun 2002, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah membekalkan perisian pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris ke sekolah-sekolah yang terlibat dalam Projek Komputer Dalam Pendidikan. Di antara perisian yang dibekalkan ialah :-

a. Having Fun With Lipo

b. Picto

c. Elementary English

d. Enov 8

e. Net Language

f. ‘A’ Star

g. Author Plus

v. Mata pelajaran Bahasa Tamil

500 buah Jenis Kebangsaan Tamil telah dibekalkan dengan perisian pemprosesan perkataan Murasu. Murid menggunakan perisian dini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Tamil.

vi. Mata pelajaran Bahasa Cina

Perisian Chinese Star dibekalkan kepada 879 Sekolah Menengah Kebangsaan yang menawarkan Bahasa Cina dan 1,284 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Murid menggunakan perisian ini untuk mengarang dalam Bahasa Cina dan mencari maklumat di Internet yang memaparkan dalam Bahasa Cina.

vii. Pendidikan Pra sekolah

Tahun 2003 adalah tahun permulaan untuk murid-murid kelas Pra-Sekolah mendapat pendedahan tentang ICT. Penggunaan ICT diintegrasikan ke dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membantu murid-murid Pra-Sekolah belajar dengan lebih berkesan di samping mendapat pendedahan kepada penggunaan perkakasan dan perisian ICT. Sebanyak 2,731 sekolah rendah yang melaksanakan kelasj Pra-Sekolah delengkapkan dengan 2 buah komputer bagi setiap kelas Pra-Sekolah dan perisian untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Projek Malaysian SchoolNet

Malaysian SchoolNet atau nama singkatan mySchoolNet merupakan satu projek Kementerian Pendidikan menggunakan teknologi internet sebagai medium dalam aktiviti pendidikan di sekolah. MySchoolNet berfokus kepada pembangunan aktiviti pendidikan berasaskan internet yang berfungsi sebagai satu Web Portal dengan memberi perkhidmatan kepada 3 sasaran pengguna utama iaitu:

i. Murid

ii. Guru

iii. Pentadbir Sekolah

Tujuan laman MySchoolNet adalah untuk merealisasikan kativiti pendidikan melalui Internet sebagai platfom penyebaran maklumat dan sumber P&P. Laman MySchoolNet bertujuan untuk meningkatkan kemahiran menggunakan Internet dan memperluaskan capaian kepada maklumat am dan sumber pendidikan di kalangan murid, guru dan pentadbirl sekolah.

Laman web MySchoolNet dibahagikan kepada 3 bahagian utama iaitu:

i. Laman Murid disediakan untuk murid mengakses maklumat berkaitan dengan aktiviti kurikulum, kepimpinan dan kokurikulum, pengetahuan am serta aktiviti interaktif. Laman ini dibahagikan kepada beberapa segmen seperti berikut:

a. Tutorial

b. Belajar IT

c. Tahukah Anda?

d. Persatuan/Kelab

e. Kaunseling

f. Pakatan Pintar

Memaparkan berita terkini dan memberi akses kepada pautan luaran berkaitan dunia pendidikan.

i. Laman Guru

Laman Guru dibangunkan dengan tujuan seperti berikut:

a. Membantu guru melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan Internet selaras dengan perkembangan ICT dalam pendidikan;

b. Meningkatkan pengetahuan sedia ada guru dalam aspek-aspek penting pendidikan seperti kaedah pengajaran dan pembelajaran serta sukatan dan huraian sukatan pelajaran terkini; dan

c. Meluaskan pengalaman dan pengetahuan guru melalui perkongsian idea secara online.

ii. Laman Guru menyediakan beberapa segmen iaitu:

a. Model Pengajaran dan Pembelajaran

b. Pentaksiran

c. Belajar IT

d. Pakatan Pintar dan

e. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

iiv. Laman Pentadbir

Laman Pentadbir mengandungi maklumat terkini dan menyediakan pelbagai bahan rujukan untuk keperluan pentadbir sebagai pemimpin organisasi pendidikan di sekolah dengan lebih efisien.

Laman Pentadbir mengandungi bahan-bahan yang berfokus kepada:

a. Pengurusan Sekolah

b. Profesion

c. Pakatan Pintar

d. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.

Projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mula dilaksanakan pada tahun 2003 untuk murid-murid Tahun 1, tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah. Kerajaan telah membekalkan Notebook dan peralatan lain kepada sekolah-sekolah bagi membantu melancarkan pelaksanaan projek tersebut. Peralatan yang telah dibekalkan kepada sekolah-sekolah bagi pelaksanaan projek ini terdiri daripada:

a. Notebook

b. Projek LCD dan layar putih

c. Troli

d. Speaker dan sub-woofer

e. Uninterruptable Power Supply (UPS)

f. Televisyen (untuk sekolah kurang daripada 150 orang murid) untuk mengantikan projector LCD.

Hasil Kajian Pusat Perkembangan Kurikulum, KPM mendapati pencapaian Murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 di kawasan Bandar dan luar Bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik menunjukkan prestasi yang memberangsangkan setelah enam bulan projek menunjukkan pencapaian purata skor yang menggalakkan bagi setiap mata pelajaran berkenaan.

Pemantauan keseluruhan oleh Jemaan Nazir Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah turut menunjukkan peningkatan besar, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Grid Pembelajaran Kebangsaan (Malaysia Grid For Learning – MyGfL)

MyGfL adalah portal e-Pembelajaran menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran yang menyediakan kandungan digital setempat (indigenous) untuk tujuan pembelajaran secara on-line. Projek ini dibiayai melalui peruntukan Demonstrator Application Grant Scheme (DAGS).

MyGfL mengandungi komponen-komponen berikut:

i. Teacher’s Resource Exchange (TRE) & Virtual Teacher Centre (VTC)

ii. MyGuru

iii. MyTest

iv. Objektif

Selain membina sumber berkualiti untuk seluruh komuniti pendidikan melalui internet berasaskan konsep e-learning, MyGfL turut meningkatkan kompetensi ICT (pembelajaran) Sekolah Luar Bandar serta menyumbang kepada komuniti sekolah dan setempat.

Lampiran 6

PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran dan mengukuhkan mutu pendidikan negara. Pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik akan membosankan murid dan seterusnya mempengaruhi pencapaian murid. Satu strategi pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR dan KBSM yang mempunyai potensi tetapi tidak diamalkan sepenuhnya ialah pembelajaran di luar bilik darjah.

Pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat menarik dan berkesan jika dilaksanakan secara elektif dan bijaksana. PLBD adalah satu aktiviti terancang dengan objektif yang jelas. Pembelajaran dan pengajaran secara ini lebih berbentuk penerokaan yang berpusatkan murid.

Beberapa jenis aktiviti sesuai dijalankan supaya merealisasikan pembelajaran luar bilik darjah. Ini termasuk lawatan bertujuan, kerja lapangan dan aktiviti penerokaan. Kesemua jenis aktiviti perlu dirancang terlebih dahulu oleh pihak sekolah yang mengelolakan aktiviti tersebut supaya menghasilkan manfaat kepada pembelajaran murid. Aktiviti PLBD yang dijalankan seharusnya merangkumi ciri-ciri berikut:

i. ada kaitan dengan kurikulum mata pelajaran

ii. mempunyai aturcara aktiviti dan pelaporan

iii. menggalakkan murid bekerja dalam kumpulan

iv. melibatkan pembelajaran oleh murid secara aktif

v. memberi peluang untuk murid menambah pengetahuan

i) Lawatan Bertujuan

Pusat yang dilawati hendaklah sesuai dengan objektif pembelajaran yang hendak dicapai. Pada masa ini terdapat banyak pusat yang boleh dilawati bagi tujuan ini; agensi kerajaan pusat, agensi kerajaan negeri, badan berkanun atau swasta. Kebanyakan pusat ini menyediakan pelbagai program khas untuk pelawat seperti murid sekolah. Buku aktiviti, lembaran maklumat atau lembaran aktiviti juga disediakan. Dengan sedikit usaha tambahan, bahan itu boleh digunakan oleh guru menjadikan aktiviti PLBD dijalankan dengan bermakna, seronok dan menghidupkan pembelajaran sesuatu tajuk dalam kurikulum sekolah.

Antara pusat-pusat yang boleh dipertimbangkan adalah:

i. Muzium Negara/Muzium Negeri

ii. Zoo Negara/zoo negeri

iii. Pusat Sains Negara

iv. Petrosains

v. PORIM

vi. MARDI

vii. FRIM

Di samping itu lawatan ke pusat yang tidak menyediakan program khas untuk murid boleh juga dilakukan. Pusat-pusat seperti kilang-kilang, ladang tanaman, dan ladang ternakan. Walau bagaimanapun guru perlu menyediakan tugasan yang sesuai dan berkaitan dengan lawatan untuk murid supaya mereka belajar dari lawatan itu dan berbincang pendapat mereka dengan rakan sebaya.

ii) Kerja Lapangan

Aktiviti lapangan sesuai dijalankan oleh murid dalam kumpulan. Aktiviti sedemikian boleh dijalankan di persekitaran sekolah, kawasan berhampiran dengan sekolah atau di suatu lokasi yang tertentu. Dengan perancangan yang rapi aktiviti lapangan boleh merangkumi pelbagai tugasan yang sesuai untuk semua murid yang masing-masingnya mempunyai pelbagai kecerdasan. Kemahiran seperti memerhati, merekod, melapor dapat diperkembangkan. Aktiviti kerja lapangan juga boleh mencetuskan minat dan sifat ingin tahu murid supaya melanjutkan pengetahuan mereka melalui bacaan dan rujukan tambahan serta perbincangan dengan rakan dan guru. Bagi murid yang berminat tinggi, kerja lapangan boleh menggalakkan mereka menjalankan kajian terhadap perkara yang merangsangkan minda mereka.

Berikut adalah satu sampel tentang berbagai kerja lapangan yang sesuai:

i. mengenal pasti spesis burung/pokok/bunga di persekitaran sesuatu lokasi

ii. mengkaji jenis perniagaan di sepanjang satu jalan/dalam satu pekan kecil

iii. mengkaji ‘trend’ hujan yang turun di sesuatu kawasan

iv. mengkaji kesan hakisan tanah

v. mengkaji pencemaran alam di suatu kawasan

iii) Aktiviti Penerokaan

Satu lagi kategori aktiviti PLBD yang boleh dilaksanakan oleh sekolah merupakan aktiviti penerokaan di lokasi yang memberi cabaran kepada murid. Cabaran yang dihadapi oleh murid dalam aktiviti penerokaan termasuk cabaran fizikal dan mental. Justeru itu, aktiviti penerokaan memberi peluang kepada murid untuk bekerja dalam kumpulan, membina semangat berpasukan serta membina kemahiran menyelesaikan masalah.

Contoh aktiviti penerokaan yang boleh dipertimbangkan adalah seperti perkhemahan, mendaki bukit dan orienteering.

Aktiviti penerokaan sebaiknya diuruskan oleh guru yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam jenis aktiviti yang ditetapkan terlebih dahulu. Walau bagaimanapun guru-guru pelapis perlu dilatih mengelolakan aktiviti penerokaan tersebut supaya aktiviti sedemikian dapat dilaksanakan secara berlanjutan oleh sekolah dan melibatkan warga sekolah dengan lebih meluas.

Kaedah pembelajaran luar bilik darjah mempunyai potensi menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan dan menyeronokkan. Selanjutnya pelaksanaan PLBD ini diharapkan dapat melahirkan individu yang boleh bertindak dengan lebih berautonomi, bertanggungjawab, berpengetahuan di samping mempunyai nilai-nilai estetik dan dapat berkomunikasi dengan baik. Walau bagaimanapun kerjasama yang lebih erat antara sekolah dengan institusi dan agensi yang berkenaan perlu dipertingkatkan dalam menyediakan program yang lebih menarik dan bermutu. Pada masa yang sama, guru perlu mengambil inisiatif merancang dan mengendalikan penggunaan sumber luar bilik darjah dalam pengajaran dan pembelajaran semua mata pelajaran. Sokongan moral dan kewangan perlu diberi oleh pihak sekolah, ibu bapa, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjayakan program ini.
arisazizartiste.blogspot.com

Kreativiti & Inovasi

CREATIVITY is a mental & social process involving the generation of new ideas or concepts, or new associations between existing ideas or concepts, fuelled by conscious & unconscious INSIGHT. Simply put, it is the making of something new, with both ORIGINALITY and APPROPRIATENESS.


But the seemingly simple concept, is actually quite complex. For how does one start to create? Is it simply out of necessity (being the mother of invention) or out of the need to express one's self in a tangible way?

Creativity has been said to come from divine intervention, cognitive processes, the social environment, personality traits,and chance (accidental, serendipity), being associated with genius, mental illness and humour. History has numerous examples to quantify all these.

Many believe creativity is a trait we are born with (NATURE), others say it can be taught (NURTURE). It is probably somewhere between the two for nurture can bring out hidden talents of one's nature.

Although commonly associated with ART & LITERATURE, creativity is is also the essential element of INNOVATION & INVENTION, necessary in areas like business, economics, architecture, industrial design, science & engineering.

THE CREATIVE PROCESS Graham Wallas, in 1929 published 'The Art of Thought' and came up with this model :

1. PREPARATION - by focusing & exploring the problems dimension

2. INCUBATION - problem is internalised into the unconscious mind, nothing appears to be happening externally

3. INTIMATION - getting a 'feeling' that a solution is on the way

4. ILLUMINATION - creative idea bursts forth from preconscious processing into conscious awareness

5. VERIFICATION - idea is consciously verified, elaborated and then, applied

(Adapted from http://en.wikipedia.org/wiki/Creativity)

CREATIVITY links

http://www.creativity-portal.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...